Monday, January 2, 2012

Sumber Perundangan Utama Islam Al-Quran

  Sebagaimana yang kita tahu, bahawasanya Allah s.w.t mengutus manusia ke bumi ini dengan tujuan menjadi khalifah di muka bumi ini. Justeru itu, Allah s.w.t tidak membebankan manusia dengan pelbagai suruhan, tetapi dengan sekadar kemampuan manusia. Allah s.w.t mengirim Nabi dan Rasul pada setiap zaman dan kaum. Oleh hal yang demikian, manusia tidak mempunyai alasan lagi untuk menyembah Allah tuhan pencipta alam.

  Nabi Muhamad SAW diutuskan bersama al-Quran untuk umat akhir zaman. Al-Quran adalah sumber perundangan islam yang paling utama.

  Al-Quran dari segi istilah bermaksud kalam Allah s.w.t yang diturunkan kepada rasulnya Muhammad SAW dalam bahasa arab, dipindahkan kepada kita secara mutawatir dan dikira ibadah membacanya.

BAGAIMANA PENURUNAN AL-QURAN DAN DIHIMPUNKAN?


Permulaan penurunan al-Quran keatas rasul junjungan kita pada tahun ke 41 kelahiran beliau.

Firman Allah taala dalam surah baqarah:
(شهر رمضان الذی أنزل فيه القرأن)
Dan pada bulan Ramadhan kami turunkan al-Quran


  Allah menurunkan 30 juzuk al-Quran sekaligus daripada luh mahfuz ke baitul 'izah pada malam lailatul qadar. Ulama bersepakat bahawa al-Quran memang diturunkan pada malam lailatul qadar. Kemudiannya Allah menurunkan al-Quran kepada rasul dalam keadaan beransur-ansur mengikut keadaan dan peristiwa yang berlaku. Sementara itu, kitab-kitab samawi yang lain, Allah taala menurunkan kitab tersebut dalam keadaan sekaligus tanpa beransur-ansur.

Antara hikmah Allah taala menurunkan al-Quran beransur-ansur ialah:

1) Untuk mendidik kaum muslimin pada ketika itu yang sudah terbiasa dengan adat jahiliah dan kezaliman, dapat meninggalkan adat jahiliah dan kezaliman itu dengan redha dan aman (bukan culture shock).

2) Untuk memudahkan kaum muslimin terutamanya para sahabat nabi menghafal ayat-ayat al-Quran yang diturunkan.

3) Memudahkan sahabat memahami hukum yang diturunkan.

4) Menasakhkan ayat-ayat yang turun terdahulu.

Pengumpulan ayat al-Quran.

Pengumpulan ayat al-Quran terbahagi kepada 3 zaman:-

a) zaman nabi
b) zaman Saidina Abu Bakar
c) zaman Saidina Uthman

Huraian Zaman:

a) Zaman Nabi
Makna pengumpulan al-Quran pada zaman nabi dibahagikan kepada dua, yang pertamanya sahabat menghafal al-Quran dalam dada mereka dan yang keduanya menulis al-Quran pada suthur(tulang-tulang binatang, kulit-kulit binatang dan sebagainya)

b) Zaman Saidina Abu Bakar
Berlakunya pengumpulan al-Quran pada zaman ini adalah disebabkan ramai sahabat yang hafiz al-Quran terbunuh semasa peperangan yamamah. Saidina Umar berkata kepada Saidina Abu Bakar, Wahai amirul mukminin, aku berpendapat al-Quran mestilah dihimpunkan sebelum lebih ramai lagi para penghafal al-Quran gugur syahid.

  Kemudian dipilihlah salah seorang daripada sahabat nabi untuk menyelesaikan tugas ini. Sahabat nabi yang dipilih ialah zaid bin thabit. Hal ini disebabkan, beliaulah yang paling layak menerima tugas ini kerana beliau turut bersama dengan rasul ketika proses semakan terakhir al-Quran.

  Syarat yang diletakan oleh Zaid bin Thabit ialah, seseorang itu mestilah menghafal al-Quran dihadapan nabi, dan al-Quran yang ditulis pada suthur itu mestilah ditulis dihadapan nabi juga. Pada ayat dua ayat terakhir surah taubah, beliau tidak mendapat satu pun dari salah seorang sahabat nabi kecuali dengan khuzaimah al-ansari.

  Setelah selesai menghimpunkan al-Quran dalam satu mushaf, mushaf itu diserahkan kepada Khalifah Abu Bakar, kemudian Saidina Umur dan kemudiannya Hafsah binti Umar.

c) zaman Saidina Uthman.

Yang sebenarnya, pada zaman ini tidak berlaku pun pengumpulan al-Quran, tetapi menghapuskan ayat-ayat yang telah dinasakhkan pada zaman rasul saw. Hal ini disebabkan berlakunya peluasan wilayah kerajaan Islam ke seluruh dunia dan menyebabkan berlakunya perselisihan antara mereka dalam ayat-ayat yang telah dinasakhkan. Hal ini mungkin, ada antara mereka mungkin tidak mengetahui bahawa sesuatu ayat telah dinasakhkan.