Tuesday, August 20, 2013

Koleksi Kes-Kes Ramadhan 1434 hijrah




Kes Ramadhan 1 :
soalan:
Bagaimana puasa bagi orang yang berada di dua kutub (selatan dan utara) kerana ada masanya mereka akan mengalami situasi malam 24 jam dan siang 24 jam?

jawapan: 
Bagi situasi seperti ini, ulama berpendapat, mereka perlu berpuasa mengikut waktu negara(yang mengalami situasi normal) yang paling dekat dengan mereka.

Kes Ramadhan 2
Soalan :
Apakah hukum penggunaan alat penyembur kedalam mulut orang berpuasa bagi yang sesak nafas(asma) ?

Jawapan :
Puasanya sah dan tidak perlu diganti, kerana cecair semburan itu tidak sampai ke dalam perut. Harus bagi orang berpuasa menggunakannya.

Sumber: 500 soal jawab dalam masalah tib wa tadawi (2010), m/s 117

Kes Ramadhan 3
Soalan:
Apakah hukum memindah(menerima) darah bagi orang yang berpuasa?

Jawapan:
Wajib qada' kerana berlakunya pertambahan dari darah asal. 

ٍsumber : ibnu baz-majmu' fatawa walmaqolat 15/275

Kes Ramadhan 4
Soalan:
Berapakah kadar zakat fitrah dan bilakah waktunya?

Jawapan:
Kadar zakat fitrah yang disebut dalam hadis riwayat bukhari(1439), adalah makanan asasi sesebuah negara sebanyak satu So' (صاع). Satu so' ini mengikut ukuran kotemporari adalah 2400 gram (lebih kurang).

Tempoh masa menunaikan zakat fitrah:-

-Masa wajib keluarkan zakat fitrah ini bermula pada tengelamnya matahari akhir Ramadhan.
-Masa harusnya ialah keseluruh bulan Ramadhan, iaitu bermula awal Ramadhan hingga akhir Ramadhan.
-Masa sunat menunaikan zakat fitrah ini pula ialah, pada pagi hari raya sebelum keluar solat hari raya.
-Manakala waktu makruhnya pula, selepas solat hari raya sehingga berakhirnya hari raya,iaitu tenggelam matahari pada hari raya. Jika keluar zakat selepas tempoh itu, hukumnya berdosa dan wajib qada'.

Sumber: fiqh manhaji, jilid satu, m/s 230-231

Kes Ramadhan 5
Soalan:
Yang mana lebih baik bagi orang musafir pada bulan ramadhan, samada berbuka atau terus berpuasa?

Jawapan:
Asal hukum, orang yang bermusafir yang mencukupi syarat jama' dan qasar mempunyai rukhsah untuk berbuka. Namun begitu, mereka diberikan pilihan samada untuk terus berpuasa atau berbuka. Dari sudut lebih baik atau tidak, ianya bergantung kepada orang berpuasa itu sendiri. Sekiranya ia mampu untuk berpuasa, maka lebih baik dia meneruskan puasa. Namun sekiranya tidak mampu berpuasa, syarak membenarkan untuk berbuka puasa. Dari sudut pandangan agama, menunaikan sesuatu fardu ketika waktunya adalah lebih baik disisi Allah daripada ibadah qada'.

Namun begitu, orang musafir yang berpuasa tetap berada dalam lingkungan rukhsah yang dibenarkan syarak.

Kes Ramadhan 6
Soalan:
Apakah hukum bagi perempuan yang menggunakan pil penahan haid di bulan Ramadhan?

Jawapan:
Hukum solat dan puasanya sah disisi syarak,

Sumber : 500 soal jawab tib wa tadawi m/s 59

Tambahan, Dr Basit memberikan analogi, sekiranya ada sebatang sungai yang mengalir, kemudian kita sekat aliran air sungai tersebut, nescaya, air sungai tersebut akan melimpah ke merata tempat. Konsep ini samalah dengan perempuan yang menggunakan pil penahan haid, berkemungkinan akan memberikan kesan jangka panjang terhadap kesihatan wanita tersebut disebabkan cuba menyekat peredaran tabie' semulajadi yang Allah tentukan.

Kes Ramadhan 7
soalan:
Apakah hukum menggunakan jarum suntikan untuk rawatan?

Jawapan:
Jarum ubatan terbahagi kepada dua, pertama, dengan tujuan mengenyangkan, hukum puasanya adalah terbatal.
kedua, bukan dengan tujuan yang mengenyangkan, hanya untuk rawatan semata, dalam hal ini, puasanya sah dah tidak membatalkan. 

sumber: ibnu usaimin , fatawa ulama balad al-haram; 295

Kes Ramadhan 8
Soalan:
Hukum mencabut gigi pada bulan Ramadhan.

Jawapan: 
Darah yang keluar ketika mencabut gigi, tidak memberikan kesan kepada orang yang berpuasa, tidak membatalkan puasa.

Sumber: 500 soal jawab tib wa tadawi, m/s 118

Kes Ramadhan 9
Soalan:
Hukum memberus gigi bagi orang berpuasa.

Jawapan:
Telah sepakat para ulama bahawa penggunaan berus gigi tidak membatalkan puasa. Cuma ulama selisih pandangan, hukum berus gigi selepas gelincir matahari. 
Ulama mazhab syafie dan hanbali, mereka berpendapat makruh hukumnya memberus gigi selepas waktu "zawal" (gelincir matahari). Manakala ulama dari mazhab hanafi, mereka berpendapat tidak makruh.

Pandangan yang rajih(kuat) dalam masalah ini adalah pandangan dari ulama mazhab hanafi

sumber: as-siam, Dr Muhd Uqlah m/s 233

Kes Ramadhan 10
Soalan: 
Apakah hukum bagi orang yang bekerja berat berbuka puasa?

Jawapan:
Dr. Wahbah al-zuhaili dalam al-fiqh al-Islami menukilkan pendapat Abu Bakar al-Ajiri: Orang yang bekerja berat ialah orang yang mempunyai pekerjaan yang berat. Jika dia bimbang berlaku kebinasaan dengan sebab puasa, maka dia boleh berbuka dan melakukan qada' jika seandainya pekerjaan tersebut mendatangkan kemudaratan sekiranya ditinggalkan. Jika meninggalkan pekerjaan tersebut tidak membawa sebarang kemudaratan, dia berdosa kerana berbuka. Jumhur fuqaha, menetapkan bahawa wajib keatas pekerja yang melakukan kerja berat bersahur dan berniat puasa. Jika berlaku sebarang keuzuran atau lapar yang amat sangat dan dibimbangi berlaku kemudaratan, harus baginya berbuka puasa dan melakukan qada'. Jika sekiranya kemudaratan pasti berlaku dengan sebab puasa, maka wajib keatasnya berbuka puasa.

Sumber: Ahkam wa fatawa al-siyam, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, m/s 39

Kes Ramadhan 11
soalan: 
Bolehkah berniat puasa qada dan sunat di dalam satu masa?

Jawapan:
Jika seseorang itu ingin menqada puasa ramadhanya pada bulan syawal, dia berniat puasa qada dan sunat syawal sekaligus, hukumnya adalah tidak boleh. Tidak boleh berniat dua puasa(sunat dan wajib) dalam satu masa kerana puasa fardu perlu diniat sendirian, tidak boleh ada dua niat dalam satu masa yang sama. Jika puasa qada(wajib) abaikan puasa sunat, jika puasa sunat, abaikan puasa qada.

Kes Ramadhan 12
Soalan:
Jika seseorang ingin bermusafir kenegara yang awal sehari puasa dari negaranya, dan apabila telah sampai ke negara tersebut, didapati ahli negara tersebut telah masuk syawal, sedangkan dia baru berpuasa 28 hari, apa yang perlu dilakukan?

Jawapan:
Jika seseorang dari negara yang lewat sehari berpuasa ke negara yang awal sehari berpuasa, maka dia wajib berbuka dan berhari raya bersama penduduk negara tersebut(walaupun dia baru berpuasa 28 hari, kerana bulan hijrah ada 29 atau 30 hari dalam sebulan). Hal ini disebabkan, negara tersebut telah masuk 1 syawal, dan ada larangan daripada Nabi saw, berpuasa pada hari raya. Kemudian, dia haruslah mengganti balik puasanya pada hari lain untuk mencukupkan 29 atau 30 hari. 

Ulama selisih pandangan tentang situasi yang berlawanan dengan situasi diatas(seseorang bermusafir dari negara yang awal puasa ke negara yang negara yang lewat puasa), setengah ulama mengatakan, perlu berpuasa juga bersama dengan penduduk negara tersebut walaupun sudah cukup 29 atau 30 hari.

Setengah ulama lain mengatakan, jika seseorang itu sudah mencukupi 30 hari bilangan puasanya, dia perlu berbuka puasa secara sembunyi dan tidak mengiklankan pada orang lain, kerana bulan hijrah tidak akan lebih dari 30 hari

Kes Ramadhan 13
Soalan:
Adakah boleh memasak dan merasai makanan ketika berpuasa?

Jawapan:
Harus memasak ketika sedang berpuasa dan tidak membatalkan puasa sekiranya merasai sedikit makanan, sekadar hajat, dengan syarat tidak menelan makanan tersebut(sekadar merasai sahaja).

sumber: fiqh muslim m/s 141-142

Kes Ramadhan 14
Soalan: 
Apakah hukum penggunaan ubat titis kedalam mata bagi orang berpuasa?

Jawapan: 
Penggunaan ubat titis mata tidak menjejaskan puasa.

Sumber: as-siam, sheikh abi abdul rahman mahmud, m/s 100

Kes Ramadhan 15
Soalan:
Apakah hukum berenang dan banyak mandi bagi orang berpuasa?

Jawapan:
Tidak membatalkan puasa bagi orang berpuasa berenang dan berendam di dalam air, sama juga bagi orang yang berpuasa suka mandi, ianya tidak menbatalkan puasa dan tidak mengurangkan pahala.

sumber: fiqh muslim 131-132

Kes Ramadhan 16
(Khas : Lailatul Qadar )

Soalan:
Apakah kelebihan malam lailatu qadar?

Jawapan:
1) Allah Taala menurunkan al-Quran pada malam lailatul qadar ini.
2) Allah taala memuliakan malam al-Qadar ini.
3) Beribadah pada malam ini 1000 bulan lebih baik daripada beribadah di bulan-bulan biasa.
4) Turunnya malaikat dengan membawa rahmah, barakah dan sakinah

Soalan:
Apakah kelebihan 10 malam terakhir ramadhan?

Jawapan:
10 malam terakhir adalah malam-malam yang terbaik dalam bulan ramadhan, Nabi saw menuntut umatnya qiam pada 10 malam terakhir ini. Memanjangkan waktu rukuk, sujud dan perbanyakkan amalan-amalan yang lain. 

Soalan:
Bilakah berlakunya lailatul qadar?

Jawapan:
Ulama telah berselisih pandangan kepada 40 pandangan, Pandangan yang kuat menyatakan pada malam ganjil di sepuluh malam terakhir ramadhan.
Pandangan yang lain pula menyatakan pada, malam 21 , malam 23, malam 27 dan malam yang 29.
Pandangan ibnu Abas pula menyatakan pada malam 27 ramadhan (huruf tulisan arab perkataan lailatul qadar ada sembilan huruf, dikali dengan bilangan lailatul qadar yang disebut didalam al-Quran sebanyak 3 kali, hasilnya ialah 27).

Soalan:
Sekiranya malam itu adalah malam lailatul qadar, apa yang perlu dilakukan?
Jawapan:
Daripada Saidatina Aisyah r.a, Ya Rasullulah, sekiranya aku mengetahui malam lailatul qadar, apa yang perlu aku ucapkan, Baginda menjawab : 
اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عنى))

Soalan:
Apakah tanda lailatul qadar?

Jawapan:
Antara tanda-tanda malam lailatul qadar:
1) Pada malam itu, suhu yang sangat tenang dan angin yang nyaman
2) Kesenangan hati dan terasa seronok melakukan ibadah
3) Terkadang melihat didalam mimpi, sebagaimana dilalui oleh setengah para sahabat.
  1. Pada waktu paginya, keadaan langit yang redup bersih, tidak panas yang memancar.

Kes Ramadhan 17
Soalan : 
Apakah hukum puasa bagi orang yang makan sahur, menjangkakan belum masuk waktu subuh, kemudian, terbukti waktu subuh telah masuk, apakah hukum puasanya?

Jawapan:
Dalam kes ini, puasanya sah, berdasarkan dalil hadis bukhari 1959, menunjukkan, org jahil tdk merosakkan puasa

sumber : fiqh muslim m/s 138

Kes Ramadhan 18
Soalan:
Apakah hukum wanita berpuasa keluar haid sawani(kurang dari seminit) sebelum masuk waktu berbuka?

Jawapan:
Hukum puasanya adalah batal dan mesti qada' , walaupun keluar haid satu saat sebelum waktu berbuka.

kes Ramadhan 19
Soalan:
Seorang musafir ingin tinggal di tempat yang dia musafir selama seminggu, adakah dia boleh berbuka puasa?

Jawapan:
Harus baginya berbuka selama dia dalam musafir, kerana Nabi saw tidak menetapkan tempoh yang tertentu bagi bermusafir, bahkan Rasullulah saw mendirikan solat qasar di tabuk selama 20 hari.

Rasullulah saw ketika di mekah semasa pembukaan kota mekah, selama 19 hari menqasarkan solatnya. Dan telah sabit dalam sahih bukhari (1944) ketika tahun pembukaan kota mekah, bginda berbuka. Diketahui, Rasullulah saw masuk ke kota mekah pada tahun pembukaan pada 20 ramadhan, ini bermakna rasullulah saw berbuka puasa selama sepuluh hari di mekah

sumber: fiqh muslim m/s 160

Kes Ramadhan 20
Soalan:
Apakah hukum, jika seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan masih belum menunaikan qada' puasanya yang lepas?

Jawapan:
Jika seseorang itu meninggal dalam keadaan dia belum qada' puasa ramadhan yang lepas, maka walinya bolehlah berpuasa untuk simati, berdasarjan dalil daripada bukhari (1952) dan muslim (1935). Jika walinya tidak berpuasa, maka bolehlah memberi makan kepada orang miskin berdasarkan jumlah hari yang ditinggalkan.

Kes Ramadhan 21
Soalan: 
Apakah hukum jima' di siang hari ramadhan?. Adakah isteri turut dikenakan kafarah(denda) ?

Jawapan:
Hukum jima' siang hari ramadhan, membawa kepada batal puasa dan wajib keatas pasangan menahan diri dari melakukan perkara yang membatalkan puasa yang lain seperti makan dan minum, wajib juga qada' puasanya pada hari lain dan wajib menjalani kafarah. Sepakat ulama' bawasanya suami wajib menjalani kafarah, manakala isteri, ulama selisih pandangan, Ahnaf (ulama dari mazhab hanafi) mewajibkan juga kafarah terhadap isteri, manakala mazhab syafie tidak mewajibkan keatas isteri.

Kafarah yang dikenakan adalah seperti berikut:-
1) Membebaskan seorang hamba atau,
2) Puasa dua bulan berturut-turut, tanpa diselangi langsung atau,
3) memberi makan 60 orang miskin makanan asasi

*Jumhur ulama, mewajibkan kafarah mengikut susunan, tidak boleh langkau
*Mazhab maliki pula membenarkan untuk memilih antara tiga perkara diatas

Kes Ramadhan 22
Soalan:
Adakah terdapat hadis yang menunjukkan pahala mengerjakan umrah pada bulan Ramadhan mempunyai kelebihan tertentu?

Jawapan:
Ya, terdapat didalam hadis bukhari (1782) dan muslim (1256), di dalam hadis tersebut menyebut, umrah pada bulan ramadhan, pahalanya seolah-olah mengerjakan haji. Walaubagaimanapun, kewajipan haji tidak akan gugur disebabkan mengerjakan umrah pada bulan ramadhan, hanya pahala sahaja dilipatgandakan.

Seperti mana dengan kelebihan surah al-ikhlas, yang mana apabila dibaca sekali, seolah sepertiga al-quran, sebagai mana hadis, 

Abu Hurairah r.a. Sabda Rasullullah SAW:
“Sesungguhnya ganjaran Surah Al-Ikhlas satu pertiga Al Quranul Qariim.” (Di riwayatkan oleh Imam Bukhari). 

Maka, adakah jika seseorang itu membaca tiga kali surah al-ikhlas di dalam solat, sudah memadai untuk dia meninggalkan membaca al-fatihah? sudah tentunya tidak, kerana ianya hanya menunjukkan kelebihan, al-fatihah pula adalah rukun di dalam solat. Begitulah juga dengan kelebihan mengerjakan umarah pada bulan Ramadhan.

Kes Ramadhan 23
Soalan:
Jika seseorang jima' isterinya pada hari raya, tiba-tiba, dia telah tersilap, rupa-rupanya dia masih lagi berada dalam bulan ramadhan, apa hukumnya?

Jawapan:
Jika dia tersalah, tidak ada apa-apa baginya, kerana orang jahil dimaafkan.

fiqh muslim, m/s 102

Kes Ramadhan 24
Soalan:
Apakah hukum menjima' isteri pada tengahari bulan ramadhan dalam keadaan musafir?

Jawapan:
Tidak ada kesulitan baginya, kerana bagi orang musafir, dibolehkan baginya berbuka puasa, minum air dan jima'. Tidak akan dikenakan kafarah(denda) yang tiga itu(bebas hamba atau puasa dua bulan berturut-turut atau memberi makan fakir miskin).

Akan tetapi wajib keatasnya mengganti balik puasanya sebanyak mana hari yang ditinggalkan. Jika seseorang itu sedang bermukim, tidak boleh dia menjima' isterinya di siang hari ramadhan.

fiqh muslim m/s 107

Kes Ramadhan 25
Soalan:
Jika seseorang itu melengahkan qada ramadhan sehingga masuk ramadhan yang kedua, apakah hukumnya?

Jawapan:
Pandangan yang kuat menyatakan, hanya perlu qada sahaja dan tidak perlu denda yang lain, berdasarkan keumuman dalil surah baqarah ayat 183.

Kes Ramadhan 26
soalan: 
Apakah hukum membatalkan puasa wajib, seperti puasa qada ramadhan, puasa nazar atau lain-lain lagi?

Jawapan: 
Tidak boleh berbuka kecuali dengan uzur yang dibenarkan, kerana puasa puasa ini dianggap puasa wajib seperti ramadhan juga.

Kes Ramadhan 27
Soalan: 
Bagaimanakah penentuan anak bulan syawal?

Jawapan:
Ulama telah sepakat bahawasanya, untuk mengesahkan anak bulan syawal mestilah sekurang-kurangnya ada dua orang saksi yang adil. Tidak diterima penyaksian jika hanya seorang saksi sahaja.

fiqh muslim m/s 37

Kes Ramadhan 28:

Soalan: Apakah hukumnya bagi perempuan yang mengandung atau perempuan yang menyusukan anak membatalkan puasanya 

Jawapan: Harus membatalkan puasa tersebut dengan dua sebab: 

a. Kerana keuzuran dirinya sendiri. 

b. Kerana menjaga kesihatan anak. 

Keterangan: 

a. Kalau berbuka puasa kerana menjaga kesihatan dirinya wajib qada' sahaja. 

b. Kalau berbuka puasa kerana mahu menjaga kesihatan anak bukan dirinya, wajib qada'dan fidyah sekadar 1 cupak beras untuk sehari. 

c. Kalau berbuka puasa kerana menjaga diri dan anak wajib qada' sahaja. 


Kes Ramadhan 29 (Akhir 1)

Khas : Solat sunat hari raya

Soalan: 
Bagaimanakah caranya dan apakah hukumnya?

Jawpan:
Solat sunat hari raya ini mula disyariatkan pada tahun kedua hijrah

Dalilnya pula :

فصل لربك ونحر

Solat sunat aidilfitri dilakukan pada setiap 1 syawal. Waktu mengerjakannya pula ketika mula terbit matahari sekadar segalah sehingga tergelincirnya matahari.

Solat sunat ini hukumnya sunat muakkad, dan ianya dianjurkan dalam bentuk berjamaah samada di masjid atau pun di tengah padang. Ianya menandakan kesyukuran kita pada Allah s.w.t. 

Cara mengerjakannya pula, ianya sama sahaja dengan rukun dan syarat solat-solat harian, cumanya ada sedikit penambahan pada takbir. Pada rakaat pertama, takbir selepas takbiratul ihram sebanyak 7 kali, manakala pada rakaat kedua pula sebanyak 5 kali.

Pada setiap takbir tersebut, disunatkan membaca:

سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله ولله أكبر ولا حولا ولا قوة إلا بالله العلي العظيم

Kes Ramadan 30 (Akhir 2) PENUTUP 1434 hijrah

Khas : Solat sunat tasbih malam hari raya 

Cara Mendirikan Solat Sunat Tasbih
.
Solat sunat Tasbih dilakukan sebanyak empat rakaat dan satu salam sekiranya solat itu didirikan pada siang hari. Manakala jika didirikan pada malam hari, 4 rakaat itu dikerjakan dengan 2 salam ( 2 rakaat, 1 salam).
Harus diingat, walaupun 4 rakaat, solat ini mengambil masa yang agak lama (lebih kurang 4 minit) kerana ia diselangi bacaan tasbih. Setiap rakaat jumlah tasbihnya 75 kali, maka jumlah keseluruhan tasbih yang dibaca adalah 75 tasbih X 4 rakaat = 300 kali.
.
Caranya;
.
1. Niat Solat Sunat Tasbih:
a) Niat Solat Tasbih 2 Rakaat,

“U-shol-lii sun-na-tat Tas-biyh rok-’a-tai-ni lil-laa-hi ta-’aa-laa.”
(Daku Solat Sunat Tasbih dua raka’at, kerana Allah Ta’ala.)
.
b) Niat Solat Tasbih 4 Rakaat,

“U-shol-lii sun-na-tat Tas-biyh ar-ba-’a rok-’a-tin lil-laa-hi ta-’aa-laa.”
(Daku Solat Sunat Tasbih empat raka’at, kerana Allah Ta’ala.)
.
.
2. Antara surah-surah yang dianjurkan ulama ialah:
Rakaat 1: Surah At-Takathur atau Ad-Dhuha
Rakaat 2: Surah Al-Ashr atau Al-Insyiraah
Rakaat 3: Surah al-Kafirun atau Al-Kauthar
Rakaat 4: Surah Al-Ikhlas.atau An-Nashr.
.
.
3. Bacaan Tasbihnya ialah:

Maha Suci Allah dan segala pujian bagi Allah, dan tiada Tuhan melainkan Allah, dan Allah Maha Besar; Dan tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.
.
Nota;
*Buat permulaan sekiranya berasa berat, bacalah tasbih di atas pada barisan pertama sahaja.
.
.
4. Lakukanlah seperti solat-solat biasa yang lain beserta bacaannya, tetapi tambahlah bacaan tasbih di bawah di akhir setiap bacaan sebelum berpindah kepergerakan seterusnya.
.
.
5. Bacaan tasbih dalam satu rakaat ialah:
Selepas baca doa Iftitah, al-Fatihah dan surah, kita baca 15 kali tasbih
Rukuk - 10 kali tasbih
Iktidal - 10 kali tasbih
Sujud pertama - 10 kali tasbih
Duduk antara 2 sujud - 10 kali tasbih
Sujud kedua - 10 kali tasbih
Duduk sebentar (sebelum berdiri) seperti duduk diantara 2 sujud, - 10 kali tasbih.
.
.
6. Jumlah tasbih dalam satu rakaat ialah 75 tasbih. Lakukan perkara yang sama pada rakaat seterusnya. Ulang langkah 1-7 sampai 4 rakaat, jadi jumlah semuanya 300 tasbih.
.
.
7. Sekiranya terlupa membaca tasbih di satu-satu tempat, bolehlah digantikan di tempat berikutnya.
.
.
8. Harus diingat pada rakaat kedua (malam hari) atau keempat (siang hari) setelah membaca Tasyahhud, dibacakan juga Tasbih 10 kali sebelum memberi salam.
.
.
9. Membaca doa solat tasbih;

Khas: Adab-Adab Berhari Raya

Disunatkan bertakbir (kepada bukan jemaah haji) bermula daripada tenggelam matahari pada malam hari raya di rumah, di jalanraya, masjid dan pasar dengan suara tinggi sehinggalah solat sunat hari raya bermula. Manakala, selepas solat sunat hari raya aidilfitri, hukum sunatnya sudah tidak ada lagi.

Adab-adab hari raya:
Mandi dan memakai wangi-wangian serta memakai pakaian yang terbaru.
Disunatkan kepada orang ramai supaya datang awal ke masjid pada hari raya
Pada hari raya aidulfitri disunatkan makan sedikit sebelum keluar untuk solat sunat hari raya.
Makruh bagi imam, melakukan sembahyang sunat sebelum sembahyang hari raya dan tidak dimakruhkan kepada orang lain. Dalilnya bukhari (945)

sumber: fiqh manhaji

SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR BATIN.

(Kes Ramadhan 1434)

0 comments:

Post a Comment