Wednesday, January 2, 2013

Kontrak Musamma (Nominate Contract) Utama



Oleh: Ahmad Sufyan Che Abdullah

Calon Phd Universiti Yarmouk

Sumberhttp://ideologi.my/v3/modules/AMS/article.php?storyid=33


Definisi yang diberikan di sini ialah definisi ringkas yang dipermudahkan. Saya tidak semestinya menggunakan lafaz yang sama lafaz dengan kitab-kitab fiqah tetapi maksudnya adalah sama juga. Mungkin juga ada beberapa definisi yang berbeza berasaskan kitab dan mazhab masing-masing, sebab kadang-kala satu-satu istilah itu memberi definisi yang pelbagai. Definisi yang diberikan juga tidak disertakan dengan mana-mana dalil, dan jika mahu perincian, boleh rujuk mana-mana buku yang berkaitan. Definisi di sini ialah sekadar rujukan ringkas yang mungkin bermanfaat terutama bagi mereka yang sukar untuk merujuk buku-buku yang terperinci. Jika ada masa, saya akan update kan definisi ini dari masa ke semasa. Boleh print dan simpan kalau malas baca sebab memang panjang, tetapi pandai-pandailah kalau nak copy pastekan ke mana-mana web atau komuniti atau portal, atau facebook kerana setiap kerja akan dipertanggungjawabkan.


1. al-Bay’: Pertukaran harta dengan harta untuk memiliki dan memberi milik. Kontrak ini diharuskan oleh Syariah selagi mana berasaskan persetujuan daripada kedua-dua belah pihak. Persetujuan antara jual beli biasanya dijelaskan melalui sighah atau lafaz atau sebarang bentuk kontrak bertulis. 


2. Al-Riba. Riba dianggap musuh utama dalam ekonomi Islam, dan dianggap dosa besar, dan diwajibkan menjauhinya dan bertaubat atas dosa-dosa yang lalu. Umumnya, riba ialah sebarang manfaat diperoleh yang disyaratkan daripada kontrak pinjaman, atau pun lebihan yang berlaku akibat pertukaran barangan tertentu yang dinamakan ‘barangan ribawi’. Oleh itu riba terbahagi kepada dua.


1. Riba al-Qard, atau dikenali juga sebagai Riba al-Duyun atau Riba al-Quran sebab disebutkan dalam Quran. Sebarang bentuk manfaat atau faedah yang diperoleh oleh pemberi pinjam kepada peminjam dianggap riba. Keadaan ini dikenali sebagai Riba al-Qard. Kalau pun tidak syaratkan, tetapi pada kebiasaannya perlu diberi faedah atau bayaran lebih, atau sebarang manfaat, juga dianggap riba. Tetapi jika tidak dijanjikan apa-apa oleh peminjam atau tidak disyaratkan apa-apa oleh pemberi pinjam, maka ia adalah harus. Atau pun lebihan yang terhasil akibat kelewatan membayar hutang pinjaman. Contohnya Mamat berhutang RM1000 tetapi kerana lewat sebulan, dipaksa bayar RM1100, ia dianggap riba. Situasi ini dikenali sebagai sebagai Riba al-Nasi’ah oleh sebahagian sarjana.


2. Riba al-Buyu’ atau Riba al-Bay’ atau Riba Hadis (sebab disebutkan cuma dalam hadis). Jenis ini urusan jual beli yang melibatkan pertukaran barangan ‘ribawi’. Riba jenis ini agak kompleks untuk difahami. Iaitu berlakunya pertukaran barangan yang berasaskan NILAI seperti EMAS dengan EMAS, atau PERAK DENGAN PERAK, atau WANG dengan WANG. Ia juga berlaku dalam proses pertukaran antara item barangan jenis TIMBANGAN dan SUKATAN (contohnya kurma, gandum, beras), contohnya tukar kurma dengan kurma yang sama jenis, yang mana pertukaran itu melibatkan perbezaaan pada nilai atau timbangan, atau perbezaan berlaku akibat kelewatan pertukaran. Oleh itu riba jenis ini ada dua keadaan:a. Riba al-Nasi'ah. Berlaku perbezaan nilai akibat daripada perbezaan masa pertukaran.2. Riba al-Fadl. Berlaku perbezaan nilai akibat daripada perbezaan kualiti barangan atau sukatan atau timbangan barangan. 


Contoh mudahnya EMAS dianggap barangan ribawi, dan WANG juga dianggap barangan ribawi oleh majoriti sarjana moden, maka WANG dengan EMAS perlu ditukar serentak sewaktu pembelian dan tidak boleh berlaku sebarang kelewatan, dengan nilai yang disepakati bersama. Sebarang kelewatan yang berlaku menyebabkan ketidaksamaan dalam nilai sebenar, mungkin akibat perubahan nilai emas. Berhutang Emas boleh dianggap riba, tetapi berhutang dengan orang lain untuk membeli emas, tidak menjadi kesalahan.


3. Al-Ijarah atau al-Ijar. Ialah memberikan perkhidmatan tertentu dengan bayaran tertentu, dengan bahasa mudahnya mengupah atau mengambil upah, atau pun menukar manfaat barangan dengan harga atau dengan bahasa mudahnya memberikan guna barangan untuk tempoh tertentu dengan bayaran tertentu atau sewaan. Kontrak ini diharuskan oleh Syariah (tertakluk kepada terma dan syarat). Bayaran sewa atau bayaran upah dinamakan Ujrah. Akad ini dianggap mengikat kepada dua-dua belah pihak tertakluk kepada terma yang dipersetujui pada permulaan kontrak.


4. Al-Ju‘alah. Memberikan komitmen untuk membayar upah tertentu atau sebarang ganjaran tertentu atau hadiah misteri kepada mereka yang sanggup melakukan sesuatu kerja yang tertentu. Contohnya menjanjikan sesiapa yang berjaya mendapatkan puteri raja yang diculik, maka boleh dapat hadiah daripada raja. Atau jika pasukan memenangi Piala Malaysia, maka akan dapat hadiah yang akan ditentukan nanti. Majoriti sarjana mengharuskan kontrak sebegini, dan kontrak ini mengikat orang yang memberi komitmen itu untuk memberikan ganjaran seperti yang dijanjikan tetapi tidak mengikat orang yang melakukan kerja itu untuk meneruskan kerja atau tidak. Ada juga sarjana seperti dari mazhab Maliki menganggap kontrak ini menjadi mengikat kepada pemberi komisen atau upah setelah kerja-kerja itu dimulakan. 
5. Al-Kafalah. Iaitu memberi komitment untuk meletakkan tanggungan orang lain ke atas dirinya, terhadap apa jua tuntutan sama ada barangan atau harta atau dirinya. Contohnya seseorang itu meletakkan dirinya sebagai penjamin kepada seseorang yang berhutang, jika orang itu gagal membayar hutangnya. Tetapi orang itu tidak boleh menggantikan dirinya untuk menerima hukuman seperti potong tangan, jika si pencuri lari daripada hukuman, tetapi boleh menjamin dari aspek kewangan. Akad ini diharuskan oleh Syariah (tertakluk kepada terma dan syarat). Kontrak ini mengandungi unsur jaminan atau dhaman, dan merupakan kontrak sukarela, seseorang yang menjamin tidak boleh mengambil sebarang upah daripada yang dijamin akan tetapi boleh mengambil kos-kos sebenar yang diperlukan. 


6. Al-Wakalah. Meletakkan orang lain sebagai wakil kepada dirinya. Kontrak ini diharuskan Syariah tetapi pada asasnya orang yang menjadi wakil itu adalah berasaskan sukarela. Jika seorang wakil itu ingin mendapatkan upah, maka kontrak wakalah telah bertukar menjadi kontrak al-Ijaraha atau wakalah bil ujrah, tetapi masih lagi harus. Cuma syarat-syaratnya kena ikut syarat al-Ijarah.


7. Al-Qard. Al-Qard ertinya seseorang itu memberikan harta yang bersifat nilai (qimi) atau harta nilaian untuk diambil semula pada tempoh yang dijanjikan dengan nilai yang sama tanpa apa-apa tambahan ganjaran atau manfaat yang dijanjikan atau tidak dijanjikan tetapi pada kebiasaannya diberikan. Contohnya jika kebiasaan sesesiapa yang meminjam perlu membalas pinjman dengan sebarang manfaat seperti makanan atau barangan tertentu, atau wang tambahan, maka ia bertukar menjadi riba. Dengan bahasa lain ialah memberi pinjam wang, atau hutang wang atau memberi wang pendahuluan wang (salaf). Kontrak ini harus di sisi Syariah dengan syarat tidak dijanjikan apa-apa manfaat kepada si pemberi pinjam. Sebarang bentuk manfaat yang diperoleh oleh pemberi pinjam yang dijanjikan atau pada kebiasaannya perlu diberikan, dianggap riba dan haram di sisi Syariah. Pada asasnya kontrak ini tidak mengikat mana-mana pihak dalam kontrak untuk meneruskan atau tidak, tetapi jika pemberi pinjam telah menjanjikan tempoh bayar balik selama tempoh tertentu, maka dia tertakluk dengan tempoh itu sebelum menuntutnya. Tetapi ia tidak mengikat peminjam untuk membayar balik bila-bila masa dalam tempoh yang dijanjikan. Jika dia tidak mampu bayar balik dalam tempoh yang dijanjikan, pemberi pinjam tidak berhak mengenakan sebarang bentuk faedah. Jika seseorang itu berniat untuk tidak membayar pinjaman sebelum meminjam, maka hukumnya menjadi haram walaupun asalnya harus.


8. Al-I‘arah atau ‘Ariyah. Memberikan guna manfaat harta yang bersifat fizikal untuk tempoh tertentu tanpa meminta apa-apa balasan, contohnya memberi pinjam laptop untuk digunakan kawan. Dengan syarat, barang yang dipinjam itu tidak terjejas. Jika terjejas, ia tidak dinamakan Ariyah, tetapi Hibah. Kontrak Ariyah atau I’arah diharuskan oleh Syariah. (tertakluk kepada terma dan syarat). Peminjam barangan tidak dipertanggungjawabkan untuk ganti barangan jika ada kerosakan bukan atas sebab kecuaiannya. Sesetengah sarjana membenarkan jaminan kerosakan oleh peminjam dan sesetengah sarjana seperti mazhab Hanafi tidak membenarkan. Jika barangan dipinjamkan dengan syarat upah atau caj tertentu, kontrak ini bertukar menjadi Ijarah.


9. Al-Iqalah. Membatalkan kontrak dengan persetujuan kedua-dua belah pihak setelah tamat tempoh khiyar. Contohnya kontrak jual beli, boleh dibatalkan dengan persetujuan dua-dua belah pihak. Hukum kontrak ini adalah harus oleh majoriti sarjana fiqh. Namun iqalah tidak boleh berlaku kepada kontrak barangan ribawi seperti forex atau jual beli mas. 


10. Al-‘Ida’ atau al-Wadi‘ah. Meminta seseorang yang bukan pemilik harta itu untuk menjaganya. Pada asasnya kontrak wadiah tidak mengikat mana-mana pihak untuk membatalkan kontrak bila-bila masa. Dan penyimpan harta itu tidak boleh memberikan sebarang jaminan untuk menggantikan balik harta itu jika digunakan atau dirosakkannya tanpa kecuaian yang keterlaluan. Jika seseorang itu menyimpan wang orang lain, lalu menggunakannya dan menjamin untuk memulangkan wang itu bila-bila masa yang diperlukan, maka kontrak itu sudah menjadi al-Qard, dan bukan lain Wadi’ah dan tertakluk dengan syarat-syarat al-Qard. Kontrak Wadi’ah diharuskan oleh Syariah dan para sarjana ijmak tentang hal ini.


11. Al-Hibah. Kontrak yang memberikan milik harta atau sebarang hak tanpa meminta sebarang balasan, yang berlaku semasa si pemberi masih hidup, atau memberi hadiah. Contohnya memberikan makanan, atau memberikan laptop sebagai hadiah hak milik penuh. Jika pemberian itu berkuatkuasa selepas si pemberi itu mati, maka ia tidak dinamakan hibah, tetapi al-wasiyyah atau wasiat, dan ia tertakluk kepada syarat-syarat wasiat, contohnya tidak boleh wasiatkan harta kepada pewaris harta seperti anak-anak kandung.


12. Al-Syarikah. Ialah bentuk perkongsian harta untuk mendapatkan untung bersama dengan kerugian ditanggung bersama. Seseorang itu boleh untuk berkongsi harta dengan beberapa orang yang lain.


a. Syarikah al-‘Aqd. Kontrak antara dua orang atau lebih untuk menyertai apa jua urus niaga atau mendapatkan hasil. Terdapat beberapa jenis utama iaitu:i. Syarikat Amwal. Persetujuan setiap orang untuk berkongsi modal dan untung rugi dikongsi bersama. Konsensus para sarjana mengharuskan kontrak ini.ii. Syarikah Abdan atau A‘mal. Persetujuan untuk melakukan bersama-sama dengan keuntungan dikongsi, tetapi modal dan tanggungan rugi oleh orang lain.iii. Syarikah al-Wujuh. Perkongsian yang tidak melibatkan modal, tetapi melibatkan jaminan seseorang, untuk mereka mendapatkan belian secara hutang lalu dijual barangan dan bila untung diperoleh, orang yang menjamin namanya itu turut mendapat bahagian untung. Jika disyaratkan jaminan bayaran hutang, biasanya dinamakan al-Mufawadah.Dari aspek modal dan autoriti dalam syarikat, para sarjana membahagikan kepada i. Syarikah al-Muwafadah. Iaitu perkongsian dengan syarat modal yang dikemukakan sama, dengan kuasa dan kerja yang dilakukan sama banyak oleh semua pihak yang berkongsi. Mazhab Syafi’i tidak membenarkan kerana bagi mereka adalah mustahil boleh berlaku sama dalam semua hal, manakala mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali mengharuskannya tetapi mazhab Maliki tidak mensyaratkan semestinya wujud persamaan secara terperinci.ii. Syarikat ‘Inan iaitu perkongsian yang mana modal dan autoriti tidak perlu sama, dan hampir semua mazhab mengharuskannya. Cuma dalam mazhab Syafi’i tidak membenarkan campur modal antara barangan fizikal dan wang, manakala mazhab lain seperti Maliki dan Hanbali membenarkan dengan syarat barangan itu diberi nilai terlebih dahulu mengikut nilai wang.


13. Al-Mudarabah atau juga dinamakan al-Qirad atau Muqaradah. Salah satu bentuk kontrak perkongsian yang mana melibatkan pemilik modal dan pengusaha dan keuntungan dikongsi bersama berasaskan perjanjian, manakala kerugian modal ditanggung oleh pemilik harta sahaja. Pengusaha tidak boleh menjanjikan sebarang keuntungan kepada pemodal, bahkan tidak boleh menjanjikan balik modal. Jika menjanjikan balik modal, kontrak bertukar menjadi al-Qard dan tertakluk kepada syarat al-Qard, dan jika pengusaha menjanjikan keuntungan, walaupun tidak tetap, kontrak itu menjadi riba yang diharamkan oleh Syariah. Pada asasnya, kontrak ini diharuskan oleh Syariah. Kontrak ini pada asalnya bersifat tidak mengikat, iaitu pemodal pada bila-bila masa boleh menarik modalnya. Namun jika penarikan modal itu menjejaskan orang yang melakukan kerja, atau merugikannya, kontrak ini menjadi mengikat. 


14. Al-Hawalah. Kontrak yang memindahkan hutang daripada tanggungan seseorang kepada seorang yang lain. Contohnya Mamat berhutang dengan Siti, dan Siti ada hutang dangan Yunus, lalu hutang Mamat dengan Siti dipindahkan kepada hutang Mamat kepada Yunus. Itupun jika jumlah hutang itu sama. Jika hutang Mamat dengan Siti lebih kecil, maka bolehlah Siti menghapuskan hutangnya dengan Yunus sebahagiannya, dan jika hutang Mamat dengan Siti lebih besar daripada hutang Siti dengan Yunus, Siti boleh pindahkan hutang itu tetapi melangsaikan bakinya kepada Mamat. Kontrak ini diharuskan dengan syarat dipersetujui bersama. Terdapat juga beberapa kes yang mana tidak perlu persetujuan bersama. (tertakluk kepada terma dan syarat).


15. Al-Muzara‘ah. Kontrak yang mana pemilik tanah berkongsi dengan pengusaha tanah untuk mendapatkan hasil bersama. Kontrak ini adalah harus oleh majoriti mazhab, tetapi terdapat pendapat seperti Zahiriyah tidak mengharuskan kontrak ini. Jika pemilik tanah menyewakan tanah dengan kadar yang tetap, majoriti sarjana fiqh menganggap ia adalah makruh. 


16. Al-Musaqah. Kontrak antara pemilik tanaman yang telah mengusahakan tanaman dengan pengusaha cuma berusaha untuk membina saliran atau mengairkan tanamannya untuk mendapatkan hasil bersama. Majoriti mengharuskan kontrak ini.


17. Al-Rahn. Merupakan kontrak gadaian yang mana seseorang itu memberikan seseorang lain memegang hartanya untuk mendapatkan kepercayaan bahawa dia akan melunaskan hutangnya pada tempoh yang dijanjikan. Kontrak ini harus oleh Syariah dan disebutkan di dalam al-Quran.


18. Al-Syuf’ah. Merupakan hak yang boleh diperolehi oleh penjual hartanah terhadap pembeli tanah walaupun secara paksaan, atau hak milik yang boleh diberikan kepada pemilik lama daripada pemilik baru walau dengan paksaan dengan pampasan. Contohnya satu tanah itu yang tidak diletakkan sempadan dimilik bersama oleh dua orang, lalu salah seorang telah menjual sebahagian tanah itu, maka seorang lagi boleh mengambil balik tanah itu daripada pembeli dengan bayaran pembeli perlu diambil daripada rakan kongsinya itu. Ini kerana Islam memberikan hak kepada pekongsi tanah itu untuk lebih berhak memiliki tanah yang dikongsi itu.


19. Al-Suftajah. Suatu bentuk komitmen yang ditulis oleh seorang yang ingin memberi pinjam wang terhadap satu sijil, dan sijil itu diberikan kepada peminjam wang untuk dibawa, dan ditunaikan melalui wakilnya di negeri yang lain. Ia seperti cek pada zaman moden. Pada zaman dahulu oleh kerana bimbang risiko wang dirompak, maka pemberi pinjam hanya memberikan sijil tertentu kepada peminjam, bila peminjam sampai ke negara lain, sijil itu ditunaikan melalui wakil peminjam.


20. al-‘Umra. Seseorang itu memberikan barangan miliknya untuk dimanfaatkan oleh orang lain sepanjang hayatnya atau sepanjang hayat orang tersebut. Lebih mirip kepada I’arah tetapi jika I’arah diletakkan tempoh sepanjang hayat, ia dianggap al-‘Umra. 


21. al-Iqta’: Kerajaan memberikan sebahagian tanah kosong kepada seseorang atau sesuatu masyarakat untuk dimanfaatkan. Jika tidak dimanfaatkan tanah itu boleh diambil balik oleh kerajaan.


BEBERAPA JENIS JUAL BELI ATAU AL-BAY'


1. Jual beli Amanah: Maksud amanah ialah pembeli dan penjual sama-sama tahu tentang harga kos dan jumlah nilai keuntungan jika ada atau nilai jika ada tanpa menyembunyikan apa-apa. Sarjana bersepakat menganggap harus untuk melakukan semua bentuk urus niaga ini.


a. Tawliyah: Jual apa yang dimiliki tanpa mengurangkan harga atau mengambil untungb. Wadhi‘ah: Menjual dengan harga yang kurang daripada harga kosc. Isyrak: Menjual sebahagian daripada barangan jualan dengan harga kosd. Murabahah: Menjual dengan harga kos + margin untung


2. Bay’ al-Ma’dum: Menjual barangan yang tidak wujud. Jual beli ini haram jika barangan tidak pernah wujud dan tidak mampu diserahkan pada waktu yang dijanjikan.


3. Bay ‘al-Mu’atah atau al-Ta‘ati. Jual beli sekadar sama-sama faham tanpa melafazkan akad ijab qabul, seperti mengucapkan saya jual, atau saya beli. Sekadar sama-sama faham dan sama-sama setuju tanpa menyatakan persetujuan secara kata-kata atau tulisan, atau jualan unjuk-berunjuk. Bentuk sebegini adalah sah jika pada pandangan umum, difahami bahawa berlaku persetujuan dua belah pihak walaupun tanpa lafaz atau tulisan mahupun isyarat badan yang difahami. Kerap berlaku di pasaraya anda sekadar ambil, bayar. Atau membeli air tin dengan mesin.


4. Bay’ al-Gharar: Jual beli yang mengandungi ketidakpastian implikasinya akibat ketidakjelasan beberapa aspek dalam akad, atau dalam barangan / perkhidmatan. Jika implikasinya besar pada pandangan umum, maka haram, jika ringan pada pandangan umum, maka harus. Contohnya bayaran 50 sen untuk penggunaan air di tandas berbayar, tidak tetap berapa banyak air atau masa guna tandas, tetapi perspektif umum yang menentukan dan ketidakpastian ini adalah ringan pada perspektif umum. Sebenarnya, gharar bukanlah bentuk jual beli, tetapi sifat ketidakpastian yang wujud dalam bentuk-bentuk jual beli.


5. Bay’ al-Mulamasah. Jual beli dengan sekadar menyentuh baju penjual atau pembeli, kemudian dikira jadi, atau sekadar menyentuh barangan, dikira jual, atau sekadar menyentuh barangan di dalam gelap dan dikira jual. Bentuk jual beli ini juga haram kerana terdapat sifat gharar, iaitu ketidakpastian tentang sifat sebenar barangan yang didagangkan.


6. Bay’ al-Munabazah. Jual beli yang berlaku akibat pembeli masuk ke kedai lalu terkena lontaran batu penjual dan dikira jual. Dianggap haram oleh Syariah Islam.


7. Bay’ al-Hasah. Urus niaga jual beli yang berlaku dengan sekadar melemparkan batu, atau anak panah ke arah mana-mana barangan, barangan yang terkena itulah yang dikira barangan jual beli. Juga haram hukumnya.


8. Bay’ al-Thunya atau Istithna’. Menjual sesuatu dengan mengecualikan beberapa perkara sebahagian daripadanya, atau pun menjual sesuatu yang diketahui spesifikasinya tetapi sebahagiannya tidak dijelaskan sifatnya. Jual beli ini tidak sah jika harga yang ditetapkan itu untuk semua, tetapi sah jika harga yang ditetapkan itu hanya untuk yang diketahui sahaja.


9. Bay’ al-‘Inah. Membeli barangan dengan harga yang tinggi secara ansuran, kemudian menjualnya kembali kepada orang yang sama dengan harga yang lebih rendah, secara tunai. Atau pun seseorang itu menjual apa bentuk asetnya secara cash, tetapi membelinya semula secara ansuran dengan harga yang lebih tinggi. Tujuannya adalah untuk mendapatkan pinjaman wang tunai. Majoriti sarjana mengharamkan kerana ia seolah-olah riba yang ditukar bentuk kepada jual beli. Mazhab Syafi’i mengesahkan kontrak ini.


10. Bay’ al-Tawarruq: Membeli barangan secara ansuran, kemudian menjualnya kepada pihak lain (bukan penjual asal barangan) secara tunai dengan harga yang lebih rendah.


11. Bay‘ al-Muzabanah: Menukar atau menjual buah kurma dipokok berasaskan anggaran dengan buah tamar yang telah dipetik yang ditimbang, pada kadar melebihi lima wasaq (lebih kurang 663kg- khilaf mengikut mazhab). Jual beli ini diharamkan oleh majoriti sarjana. Apa yang menjadikan haram ialah wujudnya unsur ketidaksamaan nilai barangan. Tetapi contohnya jika tamar di pokok dianggarkan dengan durian yang ditimbang, tidak tidak mengapa jika anggaran itu biasanya tepat dan diterima umum.


12. Bay’ al-Muhaqalah. Dijual gandum yang masih ditangkai berasaskan anggaran dengan gandum yang sepertinya yang disukat. Jual beli ini diharamkan oleh majoriti sarjana. Jika gandum ditangkai ingin dijual dengan rambutan yang telah dipetik, ia adalah harus. Sebab haram ialah untuk mengelakkan berlakunya riba fadl atau ketidaksamaan sukatan barangan yang sama jenis.

 
13. Bay’ al-‘Araya, ‘Ariyyah. Menjual kurma basah dipokok dengan agak-agak dengan tamar yang telah dipetik dengan cara anggaran. Majoriti membenarkan dengan syarat tidak lebih daripada lima wasaq. Atau memberi hadiah buah daripada pokok dan bukan pokoknya. 


14. Bay’atan fi al-bay’ah. Nama jual beli jenis ini wujud dalam hadis yang mana Rasulullah melarang dan haram melakukan “Bay‘atan fi al-Bay‘ah” tetapi sarjana fiqh berbeza pandangan tentang maksudnya, namun, antara maksud yang diberikan ialah; seseorang penjual menawarkan harga RM1000 untuk bayar cash, RM1300 untuk ansuran, lalu pembeli membeli barangan itu tanpa menentukan terlebih dahulu sama ada untuk membeli berasaskan harga cash atau harga ansuran. Jual beli ini dilarang, tetapi jika pembeli menyatakan pilihannya untuk ansuran atau cash, maka tidak salah menurut majoriti sarjana 4 mazhab utama. Ada juga yang menganggap seperti seorang penjual menjual barangan kepada pembeli secara ansuran selama setahun dengan harga RM3000 tetapi mensyaratkan membelinya kembali selepas setahun, tetapi duitnya dibayar sekarang cash RM2000 (contoh). Dengan kata lain, penjual ingin mendapatkan cash, tetapi seperti memberi barangan kepada pembeli hanya untuk tempoh terhad; ada juga yang menganggap jual beli jenis ini berlaku dengan cara penjual menjual barangan dengan harga ansuran selama setahun, tiba-tiba pembeli ingin menambah tempoh bayaran, lalu dijual kembali dengan harga yang lain.


15. Bay’ al-Wafa’ atau jual janji. Jual beli yang mana setelah penjual menjual barangan, lalu disyaratkan sekiranya penjual itu memulangkan kembali wang bayaran kepada pembeli, pembeli perlu memulangkan kembali barangan itu kepada penjual. Majoriti sarjana menyatakan jual beli bentuk ini adalah cacat, tidak valid, tetapi sarjana Hanafi dan Syafi’i menganggap ia adalah sah berasaskan keperluan masyarakat terhadap urus niaga ini. Mustafa al-Zarqa’ menganggap kontrak ini sebenarnya kontrak al-Rahn walaupun namanya berbeza. 


16. Bay’ al-Istijrar. Seseorang itu mengambil barang daripada penjual sedikit demi sedikit untuk kegunaan rutinnya, tanpa menetapkan harga pada waktu ambil itu, kemudian dibayar semuanya selepas satu tempoh tertentu, atau; seseorang itu mengambil apa yang diperlukan daripada penjual sedikit demi sedikit, tetapi ditetapkan harga semasa ambil, kemudian dikira semuanya selepas itu. 


17. Bay’ al-Muzayadah. Jual beli berbentuk bidaan atau lelongan. Penjual menawarkan harga terendah, kemudian penjual mempelawa untuk tawaran harga tertinggi daripada pembeli, hanya orang yang menawarkan harga tertinggi akan melakukan akad jual beli. Majoriti sarjana mengharuskan jual beli ini. Tetapi selepas akad berlaku, jika ada tawaran lain yang lebih tinggi, maka haram dijual lagi.


18. Bay’ al-Najasy atau al-tanajusy Seorang pembeli (yang telah berpakat dengan penjual) dengan menawarkan harga yang tinggi bukan untuk membeli pun, cuma supaya orang lain menyangka barangan itu berkualiti tinggi; atau pun seorang yang berlakon pembeli memberi testimoni dengan memuji berlebih-lebihan barangan yang tidak sehebat mana seperti pujian itu dengan harapan barangan itu dipandang berkualiti lebih daripada hakikat sebenarnya. Urus niaga seperti ini adalah haram kepada penjual. Ia adalah salah satu bentuk penipuan yang mencacatkan kerelaan antara dua pihak. Member testimoni palsu kepada bisnes kawan-kawan juga dianggap tanajusy. 


19. Bay’ Talaqqa al-Rukban atau Talaqqa al-Jalab. Orang tengah yang menyekat barangan daripada sampai ke sesuatu tempat pasar dan membelinya dengan harga tertentu dengan niat agar pengusaha asal tidak mengetahui harga di pasar atau dengan niat untuk menopoli sumber dan menjual dengan harga yang lebih mahal. Jual beli ini adalah haram dan jika mereka yang disekat daripada mengetahui harga pasaran itu tahu harga pasaran, mereka diberi hak untuk melakukan khiyar atau opsyen sama ada untuk meneruskan jual beli yang telah berlaku, atau membatalkannya.


20. Bay’ al-Hadhir li al-Badi (Orang Bandar kepada orang kampung). Menjual barangan dalam keadaan pembeli itu jahil sama ada tentang harga barangan itu di pasaran, atau kualiti barangan itu sama nilai dengan harganya. Sengaja menjual kepada orang jahil yang tidak dapat menilai barangan dengan harganya dianggap haram. 


21. Bay’ al-Fudhuli. Seseorang yang membelanjakan harta orang lain untuk orang itu, tanpa keizinan yang dibenarkan Syariah. Contohnya Mamat memberikan wang RM100. Tetiba-tiba Ali membelikan henfon kepada Mamat tanpa izin daripada Mamat. Para sarjana menganggap haram jika belian itu tidak diredai oleh pemilik harta asal. Jika penerima harta menjangkakan pemilik harta itu tidak suka atau belum pasti suka atau tidak, maka majoriti sarjana menganggap haram dia melakukan jual beli. Atau seorang wakil yang diwakilkan untuk membeli barangan tertentu, tetapi dia membeli barangan lain yang mungkin pada anggapannya lebih disukai oleh orang yang mewakilkannya. Jual beli ini dianggap tergantung kepada keizinan orang yang mewakilkan kepadanya. Contohnya jika Mazlan memberikan wang RM1000 kepada untuk membeli laptop Acer, tetapi Ali berjaya membeli laptop itu dengan harga RM800, walaupun tidak suruh oleh mazlan, maka jual beli itu sah, tetapi tertakluk kepada kerelaan Mazlan. 

22. Bay’ al-Talja’ah. Urusan jual beli yang berlaku secara paksaan atau bukan dengan kehendaknya yang sebenarnya, seperti dipengaruhi secara ‘paksaan emosi’ oleh penjual Linguaphone di pesta buku antarabangsa PWTC atau oleh penjual barangan gores dan menang atau koyak dan beli. Kontrak ini tidak sah sebenarnya. 


23. Bay’ al-Jidzaf. Jual barangan secara longgok tanpa mengira satu-satu secara spesifik. Contohnya menjual rambutan secara longgok, kelihatannya longgok itu sama besar sahaja, tanpa mengira sebiji-sebiji rambutan yang ada pada setiap longgok. Jual beli ini sah tetapi tertakluk kepada tahap penerimaan umum masyarakat.


24. Bay‘ al-‘Urbun atau ‘Urban atau ‘Arabun. Jual beli dengan membayar deposit dahulu kepada penjual dengan syarat penjual tidak boleh menjual barangan itu kepada orang lain, deposit dikira hangus jika pembeli tidak jadi membeli atas sebab yang tidak diterima oleh umum masyarakat. Jual beli sebegini diharuskan oleh majoriti sarjana moden tetapi tertakluk kepada pandangan umum masyarakat, atau undang-undang setempat yang berkaitan. Majoriti sarjana fiqh terdahulu bagaimanapun mengharamkan kontrak ini kerana menganggap menzalimi. 


25. Bay‘ al-Mustarsal. Jual beli yang berlaku dalam keadaan pembeli tidak tahu harga sebenar barangan itu di pasaran. Jika ada penipuan maka haram, tetapi jika tiada penipuan oleh penjual, tetapi harga berbeza daripada pasaran, diharuskan, tetapi juga tertakluk kepada pandangan umum masyarakat.


26. Bay’ al-Salam atau al-Salaf. Jual beli dengan membayar wang sepenuhnya atau sebahagian besarnya terlebih dahulu untuk mendapatkan barangan yang masih belum wujud sekarang tetapi pada waktu yang telah ditentukan pada masa hadapan. Contohnya melanggan majalah. Bayar dahulu, majalah masih belum wujud untuk setahun atau dua tahun akan datang. Biasanya harga lebih murah berbanding jika beli pada waktu selepas majalah terbit. Ijmak mengharuskan jual beli sebegini tetapi wang itu mesti diberi sekarang dan tidak ditangguhkan. Mazhab Maliki membenarkan wang ditangguhkan tetapi untuk sekadar tiga hari sahaja.


27. Al-Istisna‘. Jual beli berbentuk tempahan. Membayar setelah tamat tempahan, atau membayar sedikit modal pada awal tempahan, kemudian melangsaikan sebahagian lagi bayaran selepas barangan siap. Sepakat para fuqaha mengganggap kontrak ini adalah harus sekalipun barangan masih lagi belum wujud pada waktu tempahan. (Nama pun kontrak tempahan). 
28. Bay' Taqsit. Atau jual beli secara bayaran ansuran majoriti sarjana daripada empat mazhab utama mengharuskannya walaupun harga jualan secara ansuran berbeza daripada harga jualan tunai, dengan syarat jualan ansuran dipersetujui lebih awal. 


29. Bai’ Saum ‘Ala Saum – Jual beli jenis ini terdapat dalam hadis Rasulullah SAW yang mana baginda SAW melarang melakukannya, iaitu membuat tawaran atas tawaran orang lain yang telah dipersetujui. Contohnya Zaki telah menawarkan harga RM8 untuk sebuah buku dan Haliza bersetuju untuk menjualnya, lalu datang Zainal menawarkan harga lebih mahal untuk dibeli contohnya RM10. Haliza yang telah bersetuju untuk menjual tadi mengambil balik barangan yang telah diserahkan kepada Zaki dan menjualnya kepada Zainal. Majoriti sarjana fiqh berpandangan bahawa jual beli jenis ini adalah haram tetapi tidak membatalkan kontrak jual beli jika berlaku, sekalipun terdapat sebahagian sarjana Maliki dan Hanafi yang menganggap kontrak itu rosak dan boleh dianggap tidak sah. Urus niaga ini bagaimana pun, berbeza dengan bay’ ‘ala al-bay. Terdapat juga larangan Rasulullah yang melarang Bay’ ‘Ala al-Bay’ iaitu melakukan transaksi kedua ke atas transaksi orang lain. Contohnya Zainal telah menjual barangan kepada Adibah tetapi membatalkan jualan itu dan menjual kepada orang lain yang menawarkan harga lebih mahal. Apa yang membezakan Saum ala Saum (SAS) dengan Bay’ ala Bay (BAB) ialah SAS itu kontrak masih belum berlaku tetapi telah wujud bersetujuan, BAB pula kontral telah berlaku dan dibatalkan. SAS tidak sama dengan al-Muzayadah iaitu jual beli secara lelongan (lihat bay al-muzayadah No 17). Dalam muzayadah, persetujuan masih belum berlaku sedangkan dalam SAS, persetujuan telah dicapai walaupun kontrak belum berlaku. Justeru, SAS boleh diibaratkan sama dengan pinangan atas pinangan, yang mana pinangan itu sah tetapi berdosa. Peminangan itu bukanlah satu kontrak tetapi persetujuan awal untuk melakukan kontrak nikah.


30. Bay’ al-Mukhadarah – Dalam Sahih al-Bukhari terdapat hadis larangan bay’ al-Mukhadarah. Ia adalah amalan Arab yang mana menjual hasil tanaman yang belum jelas masaknya, atau sedangkan kontrak telah dibuat. Syariah melarang kontrak ini kerana hasilnya belum jelas dan belum pasti dapat diserahkan.


31. Bay’ al-Suf ‘ala Zahr – Terdapat juga larangan Rasulullah menjual bulu binatang yang masih di badan binatang itu. Contohnya nak jual bulu kambing nak buat baju, tetapi masih lagi di atas kambing. Larangan ini kerana adalah sukar untuk menentukan jumlah bulu yang boleh didapati kerana bulu itu masih berada di haiwan. Namun jika setelah haiwan itu disembeli dan kulit dan bulunya diambil ia boleh dijual. Boleh dikatakan sepakat sarjana mengharamkannya.


32. ‘Asb al-Fahl - عسب الفحل – atau nama lain juga Ijarah al-Fahl Li al-Dirab. Larangan ini adalah daripada hadis Rasulullah dalam Sahih Bukhari. Maksud ‘Asab al-Fahl ialah mengambil upah daripada benih binatang jantan untuk di’kahwin’kan dengan betina untuk mendapat baka. Ini kerana belum tentu lagi baka boleh terhasil. Larangan ini lebih lebih kepada wujudnya unsur gharar dalam urus niaga. Dari sudut hukum, terdapat beberapa perbezaan pendapat kerana maksud ‘asab al-fahl itu sendiri masih lagi kabur. Jika bayaran dikenakan untuk sekadar ‘benih’ lembu jantan, maka boleh dikatakan sepakat sarjana mengharamkannya. Tapi jika binatang jantan itu disewa tetapi untuk tujuan digunakan terdapat beberapa khilaf mazhab Ahmad membenarkan jika tiada cara percuma untuk mendapatkan baka, manakala yang jika memang sewa khas untuk guna benih, majoriti sarjana mengharamkannya berasaskan kepada sahih itu. 


33. Bay’ al-Musarrah – Ialah salah satu cara orang Arab untuk menipu pembeli binatang ternakan seperti kambing atau lembu yang mana mereka menahan susu binatang untuk menampakkan binatang itu gemuk dan timbangan yang berat. Jual beli ini dilarang oleh Rasulullah tetapi dalam hadis Rasulullah tidak membatalkan transaksi ini, tetapi baginda mengarahkan penjual agar pembeli itu diberi pilihan sama ada untuk mengembalikan bintang dan mendapat wang kembali, atau meneruskan pembelian tetapi penjual perlu memberi pampasan sedikit kepada pembeli akibat kekurangan berat binatang selepas susunya diperah, denda yang diberikan oleh Rasulullah pada masa itu ialah segantang tamar.


34. Bay’ al-Ihtikar – Ihtikar dalam konsep fiqh ialah membeli barangan untuk tujuan menyimpannya agar barangan naik harga di pasaran akibat kekurangan penawaran. Terdapat banyak hadis larangan menyorok barangan ini. Islam mengharamkan sorok barang ini dan orang yang melakukannya diarahkan sama ada; menjual pada harga kos, tiada keuntungan sebagai hukuman; atau pun menjual pada harga biasa di pasaran. Hukum melakukan ihtikar adalah berdosa bahkan sesetengah menganggap ia dosa besar kerana merosakkan ekonomi negara.